Kesan Turun Naik Harga Minyak Mentah Dunia Ke Atas Penentuan Tarif Elektrik di Malaysia

on Tuesday 22 May 2012


Kenaikan atau penurunan tarif elektrik di Semenanjung Malaysia yang dibuat oleh Kerajaan sejak bulan Julai 2008 sehingga kini adalah lebih kepada penyelarasan perubahan harga bahan api utama penjanaan elektrik iaitu gas dan arang batu.  


Sebarang perubahan harga bahan api tersebut akan memberikan impak besar terhadap keseluruhan kos pembekalan elektrik memandangkan komposisi bahan api tersebut dalam penjanaan elektrik masing-masing adalah 52% dan 41% (tahun 2010).  Pada masa ini, Kerajaan menetapkan harga mengikut formula tertentu manakala harga arang batu ditentukan mengikut harga pasaran.


a. Asas Penetapan Harga Gas untuk Sektor Janakuasa



Pada bulan April tahun 1992, Kabinet telah bersetuju bahawa harga gas bagi sektor janakuasa perlu bersandarkan harga medium fuel oil (MFO) di Pelabuhan Klang, umpamanya 104% daripada MFO. Pada masa tersebut, harga MFO di Singapura merupakan harga pasaran yang diakui di peringkat antarabangsa dan diterbitkan dalam rantau ini dan berkaitrapat dengan nilai dollar Amerika (US$).  Sehubungan itu, menggunakan index MFO dalam formula penetapan harga gas adalah pilihan utama Kabinet dan harga tersebut perlu lebih tinggi kerana sumber gas lebih mesra alam sekitar dan bersih.  Walau bagaimanapun, formula ini telah digantung pada tahun 1997 dan Kerajaan menetapkan harga gas pada RM6.40/mmBtu sehingga Jun 2008.   Kini, formula harga gas tersebut digunakan semula dalam semakan harga gas setiap enam bulan seperti yang dimaklumkan oleh Kerajaan.  Harga gas terkini yang ditetapkan bermula Jun 2011 adalah pada RM13.70/mmBtu.



b. Trend Harga Minyak Mentah Dunia dan Harga MFO



Secara keseluruhannya, harga minyak mentah dunia berdasarkan harga minyak Brent ataupun West Texas Intermediate (WTI) menunjukkan trend yang bercampur-campur sejak bulan Julai 2008.  Harga minyak mentah dunia mencapai paras tertinggi pada US$144 setong pada 3 Julai 2008, manakala turun kepada paras terendah iaitu US$33 setong pada 24 Disember 2008.  Bagaimanapun, buat masa ini trend harga minyak mentah dunia semakin meningkat dan diniagakan pada sekitar US$110 setong. 



Rajah 3 di bawah menunjukkan aliran harga minyak mentah dunia (Brent Spot) dan harga MFO ex-Singapura bermula tahun 2000 sehingga November 2011.  Secara korelatifnya, harga MFO pada tahun 2000 hingga 2009 adalah lebih dipengaruhi oleh harga minyak mentah dunia iaitu sebanyak 96%.  Bagaimanapun, bermula tahun 2010 kadar korelatif di antara harga Brent Spot dan harga MFO berkurangan kepada 75% dan pada tahun 2011 pada kadar 77%, seperti ditunjukkan pada Rajah 3. Setakat bulan November 2011, harga MFO berada pada kadar RM54.13/mmBtu manakala  minyak mentah dunia (Brent Spot) pada harga RM59.96/mmBtu.


04
Rajah 3:  Trend Harga Minyak Mentah Dunia dan Harga MFO

Secara amnya, harga gas untuk sektor janakuasa adalah mengikut formula di para (a) dan seperti yang terkandung dalam Perjanjian Jual Beli Gas (Gas Sales Agreement – GSA) antara PETRONAS dan pembelinya.   Bagi maksud ini, sekiranya harga gas dibekalkan oleh PETRONAS kepada pelanggannya dikaitkan dengan  harga pasaran MFO, ianya juga sewajarnya dinaikkan atau dikurangkan mengikut aliran harga pasaran.

Tag : ,

Perkara Yang Pengguna Patut Tahu Mengenai Tarif Elektrik

on Monday 21 May 2012

Memahami Penetapan Tarif Elektrik


Kamus Bahasa Melayu keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka mendefinasikan tarif sebagai ‘senarai harga atau bayaran yang ditetapkan (untuk bilik, makanan, dll)’.  Dalam konteks tarif elektrik, ianya adalah senarai harga bayaran yang dikenakan untuk perkhidmatan penyediaan bekalan elektrik terhadap pengguna.


Apakah Kos Pembekalan Tarif Elektrik?

Pada asasnya, kos pembekalan tarif elektrik terdiri daripada kos penjanaan, kos penghantaran  dan kos pengagihan elektrik seperti berikut:

  1. Kos penjanaan adalah kos bahan api dan kos pembelian tenaga daripada penjana bebas yang digunakan untuk menjana atau membekal tenaga elektrik.  Bahan api pula terdiri daripada gas asli, arang batu, hidro, distillate dan diesel.
  2. Kos penghantaran adalah kos pepasangan (talian bekalan kuasa elektrik voltan tinggi, kos pencawang elektrik, dll) yang digunakan daripada stesen janakuasa kepada substesen pengagihan elektrik; dan
  3. Kos pengagihan merupakan kos pepasangan penyaluran bekalan kuasa elektrik kepada pengguna kediaman dan perniagaan (komersil, industri) melalui talian bekalan kuasa elektrik voltan rendah.


Sehingga kini, bahan api gas asli paling banyak digunakan dalam penjanaan elektrik dan harganya telah ditetapkan (subsidi) oleh Kerajaan.  Ini bertujuan supaya kos pembekalan elektrik berada pada tahap sewajarnya dan tidak akan membebankan rakyat.  Sebarang kawalan harga bahan api untuk penjanaan elektrik yang ditentukan oleh Kerajaan adalah bertujuan untuk kepentingan rakyat.


Definasi Tarif Elektrik


Secara tipikalnya kos penjanaan merangkumi 70% daripada jumlah kos pembekalan, diikuti dengan kos penghantaran 10% dan kos pengagihan sebanyak 20% seperti  Rajah 1.

Rajah 1:   Kos Pembekalan  Tarif Elektrik
01


bm01
Sumber: Kajian Tarif Elektrik danTarif Gas di Semenanjung Malaysia dan Sabah, 2009


Sehingga kini, bahan api gas asli paling banyak digunakan dalam penjanaan elektrik dan harganya telah ditetapkan (subsidi) oleh Kerajaan. Ini bertujuan supaya kos pembekalan elektrik berada pada tahap sewajarnya dan tidak akan membebankan rakyat. Sebarang kawalan harga bahan api untuk penjanaan elektrik yang ditentukan oleh Kerajaan adalah bertujuan untuk kepentingan rakyat.
Tag : ,

Persediaan Hadapi Krisis Tenaga di Malaysia

on Tuesday 15 May 2012





"Negara mungkin akan berhadapan dengan krisis tenaga dalam tempoh kurang 10 tahun lagi." 

Itulah antara intipati akhbar Berita Harian pada 26 November, 2010. Kenyataan tersebut bukanlah suatu omongan kosong. Tetapi, ia merupakan hakikat yang mungkin bakal kita hadapi jika terus bergantung sepenuhnya kepada sumber bahan api fosil seperti arang batu, gas dan petroleum sahaja bagi menjana elektrik tanpa berusaha meneroka dan membangunkan alternatif lain sebagai penimbal kepada sumber tenaga berkenaan.

Justeru, dalam memastikan jangkaan berhadapan krisis tenaga dapat dielakkan, maka langkah proaktif dan persediaan yang secukupnya perlu dilakukan dengan lebih serius. Ini bagi memastikan kita mampu berhadapan dengan risiko kehabisan sumber kelak dan tampil dengan sumber tenaga alternatif yang lebih baik bagi menampung keperluan tersebut.

Sehubungan itu, sudah tiba masanya kerajaan mempelbagaikan sumber tenaga dengan meneroka sumber-sumber tenaga lain yang lebih mesra alam bagi menggantikan sumber tenaga yang sedia ada. Kita seharusnya realistik bahawa penerokaan alternatif lain bagi menjana elektrik bukan lagi suatu pilihan, sebaliknya ia merupakan satu keperluan memandangkan sumber tenaga utama kita pada hari ini pastinya saban hari akan semakin menyusut. Bukan itu sahaja, bahkan bekalannya yang tidak menentu dan tertakluk kepada permintaan serta spekulasi pasaran akan menyebabkan tarif elektrik sentiasa berubah-ubah dan tidak stabil.

Selain itu, desakan untuk membangunkan sumber tenaga alternatif dengan kadar segera juga adalah rentetan daripada kesedaran bahawa sumber tenaga sedia ada telah banyak memberi dampak negatif terhadap alam sekitar. Antaranya, ia merupakan penyumbang terbesar kepada masalah pencemaran melalui pembebasan gas karbon dioksida dan monoksida yang seterusnya membawa kepada kecelaruan iklim dan pemanasan global pada hari ini. Lebih buruk lagi apabila situasi iklim yang tidak stabil memungkinkan berlakunya lebih banyak bencana alam di serata dunia yang akhirnya akan turut menggugat tahap keselamatan seluruh makhluk yang menghuninya.

Jika negara masih terus bergantung kepada bahan api fosil semata-mata tanpa sebarang tindakan dilakukan daripada sekarang, kita pastinya sedang mengorak langkah untuk berhadapan dengan krisis tenaga bagi tempoh beberapa tahun akan datang. Ini memandangkan, pada hari ini didapati 100 peratus daripada bekalan arang batu untuk kegunaan Semenanjung Malaysia adalah diimport dari beberapa negara seperti Indonesia, Australia dan negara lain. Manakala, sebanyak 25 peratus bekalan gas pula adalah diperolehi dari Thailand dan Indonesia. Kebergantungan kepada negara lain untuk memperolehi sumber-sumber berkenaan sudah jelas memberi gambaran bahawa kita sedang menuju ambang kepupusan sumber fosil bagi penjanaan elektrik.

Sampai bilakah kita ingin bergantung kepada negara-negara terbabit bagi mendapatkan sumber-sumber tersebut? Ini memandangkan, lama-kelamaan sumber berkenaan di negara terbabit juga akan kehabisan. Adakah kita hanya mahu menunggu dan melihat sahaja tanpa mengambil sebarang inisiatif dengan mempergiatkan lagi usaha ke arah meneroka sumber tenaga alternatif lain bagi menggantikan sumber berkenaan? Pastinya rata-rata kita tidak sanggup untuk berhadapan dengan krisis tenaga dan alam sekitar yang pastinya akan merumitkan lagi kehidupan kita pada masa hadapan. Ini memandangkan, tanpa tenaga yang mencukupi pastinya aktiviti pembangunan tidak dapat dilaksanakan dengan lancar dan sempurna. Malah, segala perancangan yang telah direncanakan juga pastinya akan terbantut. Ini sekaligus akan mengakibatkan pertumbuhan ekonomi negara juga akan turut terencat.

Oleh yang demikian, persediaan bagi menghadapi krisis tenaga perlu dilaksanakan secara bersepadu agar satu keputusan dapat dicapai bagi mempelbagaikan sumber tenaga. Dari segi jenis tenaga apa yang praktikal untuk dibangunkan di Malaysia, ia memerlukan kajian yang lebih mendalam serta menyeluruh dan perlu diperhalusi sehingga ke akar umbi agar tenaga yang dibangunkan kelak tidak mengundang sebarang implikasi negatif di kemudian hari baik terhadap risiko keselamatan rakyat mahupun terhadap alam sekitar seluruhnya. Atau dengan lain perkataan, pertimbangan sewajarnya perlu diambilkira agar tenaga yang bakal dibangunkan dapat memberi impak paling minimum ke atas alam sekitar, risiko keselamatan yang rendah kepada rakyat dan kos yang harus ditanggung oleh setiap isi rumah juga adalah minimum.

Misalnya, kerajaan sebelum ini ada mengumumkan akan membangunkan loji jana kuasa nuklear pertama negara pada tahun 2021. Pembangunan teknologi nuklear tersebut dijangka dapat menampung keperluan tenaga yang mencukupi bagi menjana pertumbuhan ekonomi dan negara pada masa akan datang. Namun demikian, pengendalian rektor nuklear yang begitu kompleks agak menggusarkan kita terutamanya dari segi risiko keselamatan rakyat. Ini memandangkan, banyak tragedi yang melibatkan kemalangan di loji nuklear telah berlaku sebelum ini. Tragedi terakhir ialah letupan rektor nuklear yang berlaku pada tahun 1986 di Chernobyl, Soviet Union. Tragedi tersebut telah menyebabkan kehidupan 9 juta penduduk terjejas teruk. Justeru, kita seharusnya mengambil iktibar daripada tragedi-tragedi yang pernah berlaku sebelum ini agar satu keputusan yang tepat diambil bagi mengelakkan kemungkinan tragedi seumpama itu berulang.

Memang tidak dinafikan bahawa keselamatan rektor nuklear boleh dipertingkatkan lagi tahap kecekapannya sehingga boleh mencapai 100 peratus. Bahkan, penyelidikan dari masa ke semasa telah dilakukan bagi mengurangkan risiko kemalangan di loji nuklear. Namun, kita harus akui bahawa kecekapan pengendalian peralatan oleh manusia tidak akan mampu mencapai 100%. Oleh yang demikian, risiko berlakunya letupan atau kemalangan tetap ada walaupun kecil.

Justeru, dalam melaksanakannya ia perlu mengambil kira pertimbangan daripada semua aspek agar keputusan yang dibuat kelak tidak mengundang musibah kepada kita di kemudian hari.Sedangkan, langkah mempelbagaikan sumber tenaga tidak hanya terhad kepada opsyen nuklear sahaja. Sebaliknya masih banyak lagi kaedah-kaedah lain yang boleh dimajukan untuk menjana tenaga elektrik terutamanya tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) seperti tenaga solar, angin, kuasa hidro elektrik, bio-fuel, geo-terma, ombak dan sebagainya.

Dalam situasi di Malaysia, tenaga solar juga dilihat mempunyai potensi yang besar untuk dimajukan bagi menjamin keselamatan tenaga. Selain daripada selamat, sumber tenaga berkenaan juga bersih, banyak, berkekalan dan tidak dipengaruhi oleh politik antarabangsa. Oleh yang demikian, hasrat kerajaan untuk melaksanakan penggunaan sistem tenaga solar sebagai sumber tenaga alternatif untuk tempoh tujuh atau lapan tahun daripada sekarang merupakan usaha yang wajar diperhalusi dan difikirkan secara serius.

Walaupun pada masa ini kos membeli tenaga solar masih lagi tinggi, namun usaha ke arah itu masih boleh dipertimbangkan. Kajian dan penyelidikan secara terperinci terutamanya dari segi usaha mengurangkan kos pelaksanaannya perlu difikirkan. Ini bagi memastikan matlamat kerajaan untuk merealisasikan pembangunan tenaga berkenaan mampu dilaksanakan untuk tempoh tersebut tanpa mengabaikan kepentingan rakyat terutamanya dari segi kos yang harus dipikul oleh mereka. Ini penting kerana dalam membangunkan sumber tenaga alternatif, semua aspek perlu diteliti agar kemajuan yang dikecapi kelak turut mengambil kira kepentingan semua pihak, baik kepentingan rakyat, ekonomi mahupun alam sekitar. Pilihan sama ada baik ataupun sebaliknya adalah terletak di tangan kita.Justeru, ‘tepuk dada, tanya selera'.

Sumber asal: Utusan Malaysia, 26/11/2010. Oleh Rosmidzatul Azila Binti Mat Yasmin.
Tag :

Tenaga Biojisim

on Tuesday 1 May 2012

Biojisim ialah bahan organik diperbuat daripada tumbuhan dan haiwan. Biojisim mengandungi tenaga tersimpan daripada Matahari. Tumbuhan menyerap tenaga Matahari melalui satu proses yang dipanggil sebagai fotosintesis. Tenaga kimia dalam tumbuhan dipindahkan kepada haiwan dan kemudian kepada manusia apabila manusia memakannya. 

Biojisim ialah tenaga yang boleh diperbaharui kerana kita boleh tanam banyak pokok dan tanaman, dan bahan buangan akan sentiasa dihasilkan. Beberapa contoh bahan bakar biojisim ialah kayu, tanaman, baja dan bahan buangan pepejal - sampah.

Apabila dibakar, tenaga kimia dalam biojisim dibebaskan sebagai haba. Apabila membakar kayu, ia merupakan bahan bakar biojisim. Sisa makanan atau sampah boleh dibakar untuk menghasilkan stim menjana elektrik, atau membekalkan haba kepada industri dan rumah.

Antara sumber-sumebr biojisim


Menukarkan Biojisim kepada Bentuk Tenaga yang Lain 


Biojisim boleh ditukarkan kepada beberapa bentuk tenaga lain yang berguna, seperti gas metana atau bahan bakar kenderaan, seperti etanol dan biodiesel. Gas metana merupakan kandungan utama gas asli. Bahan – bahan yang berbau, seperti sampah yang mereput, dan bahan buangan pertanian dan bahan buangan oleh manusia, membebaskan gas metana – yang juga dikenali sebagai “gas bahan buangan” atau “biogas”. 

Hasil tanaman seperti jagung dan tebu boleh difermentasikan menghasilkan etanol. Biodiesel, satu lagi bahan bakar kenderaan, boleh dihasilkan daripada tinggalan produk makanan seperti minyak sayuran dan lemak haiwan. Bentuk biojisim yang paling biasa ialah kayu. Ia telah digunakan beberapa ribu tahun yang lalu sebagai bahan bakar untuk pemanasan dan memasak.

Kayu berterusan menjadi sumber tenaga utama di kebanyakan negara yang membangun. Kayu dan bahan buangan kayu (kulit kayu, habuk kayu, serpihan kayu dan skrap kayu) membekalkan kita tenaga. Ia digunakan oleh industri, penjanaan kuasa elektrik, dan perniagaan komersial. Selain itu, ia digunakan di rumah untuk pemanasan dan memasak. 

 Tenaga dari Sampah 


Sampah, selalunya dikenali sebagai bahan buangan sisa pepejal, merupakan sumber tenaga biojisim. Sisa pepejal ini mengandungi bahan biojisim (atau biogenik) seperti kertas, kadbod, skrap makanan, rumput yang dipotong, daunan, kayu dan produk kulit, dan lain –lain bahan bukan – biojisim yang mudah terbakar seperti plastik dan lain – lain bahan sintetik yang diperbuat daripada petroleum. 

Penguraian biojisim di tapak pelupusan sampah menghasilkan gas metana – biogas, yang mana digunakan untuk menjana elektrik. 

Biojisim dan Alam Sekitar 


Setiap bentuk biojisim mempunyai impak yang berbeza. Biojisim mencemarkan udara apabila ia dibakar, tetapi tidak sebanyak yang dihasilkan oleh bahan bakar fosil. Membakar bahan bakar biojisim tidak menghasilkan bahan pencemar seperti sulphur yang menyebabkan hujan asid. Apabila dibakar, biojisim membebaskan karbon dioksida, yang merupakan gas rumah hijau.



 
Pembakaran Kayu 

Asap daripada pembakaran kayu mengandungi bahan pencemar seperti karbon monoksida dan beberapa bahan yang lain. 

Sumber: Sains Best
Tag : ,
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© Info Tenaga | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO