Panasonic Energy Labur RM1.84 Bilion Bagi Kilang Pengeluaran Solar Di Malaysia

on Saturday 3 March 2012



KULIM, 2 Mac (Bernama) -- Panasonic Energy Malaysia Sdn Bhd, syarikat pengeluaran solar yang dibentuk oleh Panasonic Corporation, melabur RM1.84 bilion bagi kemudahan pengeluaran solar bersepadu penuh pertamanya di Malaysia.


Kemudahan itu yang terletak di Kulim Hi-Tech Park, akan menjalankan pengeluaran bersepadu wafer, sel dan modul solar dengan dengan anggaran kapasiti pengeluaran tahunan 300 megawatt (MW).


"Di kilang baharu kami, keseluruhan proses pengeluaran disepadukan dalam asas tunggal. Kami boleh mengurangkan kos dengan ketara dengan mengurangkan proses dan menghapuskan proses pengangkutan," kata Naib Presiden Panasonic Group, Tetsuhiro Maeda semasa upacara pecah tanah dan pertukaran perjanjian pajakan tanah, di sini.


Maeda bertanggungjawab bagi perniagaan solar bagi Panasonic Energy Company Japan.


Turut hadir di upacara itu ialah pengerusi Kulim Technology Park Corporation Sdn Bhd, Datuk Ir Amiruddin Hamzah, presiden Energy Company of Panasonic Group, Masato Ito, pengarah urusan Panasonic Asia Pacific, Yorihisa Shiokawa dan pengarah urusan Panasonic Malaysia Sdn Bhd, Jeff Lee.


Ketika ini, jumlah kapasiti global syarikat ialah 600MW daripada kilang-kilangnya di Jepun, Hungary dan Mexico.


Pembinaan kemudahan baharu di Kulim itu akan memulakan operasinya dengan segera bermula pada Disember untuk mengeluarkan Panasonic Heterojunction dengan modul solar Intrinsic Thin-layer (HIT).


Kilang itu dijangka menggunakan khidmat 1,500 pekerja dan memiliki jumlah kawasan binaan 70,000 meter persegi.


Produk-produk yang dikeluarkan di Kulim akan dijual di seluruh dunia serta di Jepun.


Maeda berkata bagi tempoh tiga tahun lepas, jualan panel solar merosot tetapi bukan modul HIT.


"Dengan kesedaran alam sekitar yang semakin meningkat di seluruh dunia dan pengenalan sistem subsidi serta skim Tarif Galakan di pelbagai negara, pasaran solar dijangka terus berkembang," katanya.


Sehubungan itu, Maeda berkata permintaan pesat dijangkakan terutamanya di sektor kediaman, bahagian sasaran utama bagi modul solar HIT.


-- BERNAMA. 

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© Info Tenaga | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO