Menarik! Bahan Bakar dari Daun Buatan

on Wednesday 28 March 2012



Mendapat inspirasi dari daun dan proses fotosintesis, dua kumpulan penyelidik telah memperbaharui teknik menukarkan gas Karbon Dioksida (CO2) menjadi bahan bakar.

Penyelidik dari Amerika dan Belanda menggunakan peralatan dan bahan ujikaji yang murah serta tenaga solar dari matahari untuk memisahkan air kepada gas oksigen dan hidrogen. Menurut satu laporan, mereka menamakan ciptaan mereka itu sebagai ‘daun buatan’.

“Anda hanya perlu meletakkan ‘daun buatan’ di dalam bekas kaca yang mengandungi air dan biarkan di bawah cahaya matahari. Keadaan itu akan menarik lebih banyak keamatan pancaran cahaya matahari yang menukarkannya kepada menjadi tenaga solar dengan pemisahan gas oksigen dan hidrogen dari air tersebut” ujar Daniel Nocera, penyelidik dan penulis bersama dariMassachuseetts Institut of Technology (MIT). Laporan penyelidikan tentang daun buatan tersebut telah diterbitkan dalam Jurnal Science pada bulan September 2011 .

Dalam ujikaji yang hampir sama, kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Richard Masel dari syarikat Dioxide Materials di Amerika Syarikat juga menggunakan tenaga solar untuk menukarkan gas Karbon Dioksida kepada petrol. Menurut Masel, mereka pada awalnya hanya mengharapkan 50% kecekapan tenaga yang terhasil, namun menurut pencerapan mereka 80% kecekapan tenaga dapat dihasilkan. Dan ianya melebihi sasaran awal. “Ia menunjukkan karbon dioksida boleh diguna semula dengan murah dan mudah” kata Masel yang menjalankan ujikaji kedua dalam bidang kajian yang sama.
Nocera dengan peralatan ujikaji 'daun buatan'


Pelepasan gas karbon dioksida yang terhasil dari bahan bakar petroleum menjadi isu utama dunia pada masa kini kerana ia menjejaskan cuaca dunia dan menyebabkan pemanasan global. Justeru itu, kumpulan penyelidikan yang diketuai Masel menggunakan teknik kitar semula yang mampu memecahkan karbon dioksida kepada komponen-komponen asalnya dan menukarkannya semula menjadi bahan bakar.
Mereka menemui sebatian kimia baru yang dikenali sebagai EMIM-BF-4 yang bertindak sebagai katalis yang cekap untuk memecahkan molekul Karbon Dioksida. Penemuan itu dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penyelidik-penyelidik sebelum ini yang menggunakan sejenis instrumen bervoltan tinggi untuk memisahkan CO2.
Peranti yang dihasilkan mereka boleh dipasang mana-mana bekalan sumber tenaga seperti penjana tenaga angin (wind farm) atau sel suria. Ia kemudiannya akan mengambil tenaga, CO2 dan air, seterusnya digunakan untuk menghasilkan gas sintetik yang boleh digunakan dalam industri atau dihantar ke kilang pemprosesan untuk menghasilkan petrol.

Sumber : Cosmos Magazine melalui Majalah Sains
Tag :

Penggunaan Bateri Ion Lithium Untuk Menyimpan Tenaga Solar dan Angin

on Thursday 22 March 2012


Bateri Ion Lithium

Tenaga solar dan angin merupakan dua sumber tenaga yang boleh diperbaharui, tetapi berada dalam keadaan yang tidak menentu. Kedua-duanya tidak boleh menjana tenaga sepanjang hari tetapi hanya pada tempoh yang tertentu sahaja. Akibatnya, tenaga yang dijana ini akan kehabisan atau hilang dalam masa yang singkat apabila angin tidak bertiup ataupun matahari ditutup oleh awan.

Untuk menyalurkan sumber tenaga yang berterusan kepada pihak penyedia bekalan, kedua-dua sumber tenaga yang boleh diperbaharui ini perlu disokong oleh kaedah penyimpanan tenaga yang baik seperti bateri. 

Ketidaktentuan bekalan tenaga oleh kedua-dua sumber tenaga ini masih bukan merupakan masalah yang besar memandangkan kedua-duanya hanya membekalkan peratusan yang rendah dalam penjanaan tenaga di dunia.
Namun, banyak negara telah berhasrat dan mengumumkan pelan untuk membangunkan sektor tenaga solar dan angin secara besar-besaran. Justeru, isu ketidaktentuan ini mesti diselesaikan dengan secepat mungkin.  

Cara penyimpanan tenaga melalui bateri ion Lithium merupakan salah satu cara yang berkesan untuk mengatasi masalah ini. Negara Amerika Syarikat dan China merupakan negara-negara di dunia yang mempunyai kemudahan penyimpanan bateri ion Lithium.

Bateri jenis ini bukan satu-satunya jenis bateri yang digunakan untuk menyimpan tenaga. Jepun mempunyai ladang bateri yang paling besar di dunia, yang menggunakan bateri sodium-sulfur dan membekalkan 238 MW/h tenaga. Contoh yang lain adalah ladang bateri di Alaska yang menggunakan jenis nickel-cadmium dan membekalkan sebanyak 46 MW tenaga bagi setiap 5 minit.

Pembaikan teknologi dan kemahiran membolehkan pelbagai jenis bateri baru dan lebih berkesan ini dicipta dalam masa yang akan datang. Oleh itu, sektor pengeluaran bateri yang semakin berkembang ini akan membolehkan pembangunan yang lebih pesat dalam sektor tenaga yang boleh diperbaharui.    

Sumber artikel: Konsumer Kini. Oleh Foon Weng Lian. Persatuan Pengguna Tenaga dan Air Malaysia (WeCAM)
Tag :

Tenaga Angin

on Saturday 17 March 2012

Angin adalah udara yang bergerak. Ini terjadi oleh pemanasan permukaan Bumi yang tidak sama oleh Matahari. Disebabkan permukaan Bumi terdiri daripada pelbagai jenis bentuk muka bumi dan air, ia menyerap haba cahaya Matahari pada kadar yang berbeza – beza. Satu contoh menunjukkan berlakunya pemanasan tidak sekata ini ialah kitaran angin semula jadi. 

Kitaran Angin Semula Jadi


Ketika waktu siang, udara pada permukaan darat menjadi panas lebih cepat berbanding udara pada permukaan air. Udara panas pada permukaan darat mengembang dan bergerak ke atas, kemudian udara yang lebih berat dan lebih sejuk dengan pantas mengisi ruang yang ditinggalkan, ini yang menyebabkan berlakunya angin. Pada waktu malam, prosesnya adalah terbalik kerana udara pada permukaan darat lebih cepat menjadi sejuk berbanding udara pada permukaan air. 

Adalah sama, angin atmosfera yang berkitar sekeliling Bumi terjadi disebabkan oleh permukaan berdekatan garisan khatulistiwa Bumi mengalami pemanasan yang lebih oleh matahari berbanding permukaan Bumi di kutub Utara dan Selatan. 

Kitaran angin semulajadi

Bagaimana Tenaga Angin Menjana Elektrik? 


Angin adalah tenaga yang boleh diperbaharui sama seperti tenaga suria kerana ia sentiasa bertiup. 

Bagaimana Turbin Angin Berfungsi? 


Petani telah menggunakan tenaga angin selama beberapa tahun untuk mengepam air dari perigi menggunakan kincir angin. Angin juga digunakan untuk memusingkan batu pengisar untuk mengisar gandum atau biji jagung.

Ladang Turbin Angin


Angin juga digunakan untuk menghasilkan elektrik. Angin yang bertiup (tenaga kinetik) akan memusing bilah kipas pada turbin angin. Bilah kipas akan menggerakkan gandar yang disambungkan pada generator yang akan menghasilkan tenaga elektrik.

Setelah elektrik dihasilkan oleh turbin, elektrik dari seluruh ladang angin akan dikumpulkan dan dihantar ke transformer. Voltan akan ditambahkan untuk dihantar melalui kabel berkemampuan tinggi. 

Kelemahan Menggunakan Tenaga Angin


-Perlu memilih kawasan yang sesuai untuk tenaga angin.

 Tenaga angin hanya boleh diperolehi daripada kawasan yang mempunyai tiupan angin yang kuat. Secara asasnya, kelajuan angin bertambah apabila altitud (ketinggian) kawasan bertambah dan di kawasan terbuka yang tidak berlaku gangguan angin. 

Kawasan yang paling baik untuk kawasan memperoleh tenaga angin ialah seperti kawasan tinggi yang gondol tiada pokok, dikelilingi bukit – bukau, kawasan lapang atau tepi laut yang terbuka dan juga ruang antara gunung – ganang yang membentuk terusan angin. 

 -Memberi kesan besar kepada populasi burung liar dan lanskap.

Kesan alam sekitar yang paling besar dalam penggunaan mesin angin ialah ia memberi kesan negatif kepada populasi burung liar dan juga permandangan alam sekitar. Sesetengah orang permandangan bilah turbin angin yang bergemerlapan adalah sesuatu yang menyakitkan; tapi bagi yang lain, ia merupakan alternatif yang indah kepada stesen jana kuasa konvensional. 

Kelebihan Tenaga Angin 


Tenaga angin merupakan tenaga yang boleh diperbaharui dan ia tidak menyebabkan pencemaran, oleh itu ia merupakan tenaga alternatif kepada bahan bahan bakar fosil. Tenaga angin adalah bersih; loji kuasa angin atau dipanggil ladang janakuasa angin tidak menghasilkan sebarang pencemaran udara atau air kerana tiada bahan bakar yang dibakar untuk menghasilkan elektrik.


Sumber: Sains Best
Tag : ,

Kesedaran Rakyat Malaysia Terhadap Produk Kecekapan Tenaga

on Thursday 15 March 2012



Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bersama-sama Suruhanjaya Tenaga dan TNB sentiasa menjalankan Program Kempen Kesedaran Kecekapan Tenaga kepada semua golongan rakyat  Malaysia yang meliputi pelajar-pelajar sekolah rendah, menengah, orang awam dan juga untuk pihak industri. 

Tetapi, daripada pemerhatian sebagai penceramah saya mendapati bahawa kesedaran masyarakat Malaysia terhadap produk-produk kecekapan tenaga yang ada dalam pasaran tempatan dan mahupun dunia adalah kurang jika membandingkan negara-negara lain seperti Jepun, Korea, China, Amerika dan lain-lain.
Di Malaysia, Suruhanjaya Tenaga dan KeTTHA telah mengiktiraf banyak produk elektronik yang menggunakan tenaga elektrik yang sedikit dalam melakukan kerja. Contohnya, televisyen, peti sejuk, kipas, penghawa dingin dan lain-lain. Kesemua barangan elektrik yang diiktiraf sebagai produk kecekapan tenaga dilabelkan dengan barisan bintang di mana 1 bintang mewakili kurang cekap tenaga hingga 5 bintang menunjukkan produk yang paling cekap tenaga. Label bintang biasanya akan dipamerkan di hadapan produk tersebut.

Apabila penceramah melontarkan soalan berkaitan dengan label kecekapan tenaga ini, 92 peratus daripada para hadirin memberi jawapan tidak tahu apakah maksud label tersebut dan tidak pernah melihat sebelum ini. Ada di antara para hadirin mengaku jika hendak membeli barangan elektrik yang baru, mereka hanya memikirkan harga produk dan jenama sahaja. Mereka tidak pernah mengambil tahu tentang butiran maklumat yang tertera di produk seperti berapa Walt (W) yang digunakan, Arus (A), Voltan (V) dan sebagainya. 

Sebagai pengguna yang bijak, kita seharusnya mengambil tahu butiran-butiran tersebut untuk mengenal pasti produk tersebut cekap tenaga atau tidak. Oleh itu, sebelum kita membeli sesuatu produk elektronik, kita seharusnya merancang dan meneliti kegunaan produk tersebut dan memastikan produk tersebut dilabelkan dengan logo kecekapan tenaga.
Sumber asal: Konsumer Kini
Tag :

Tenaga Boleh Diperbaharui Sebagai Sumber Tenaga Utama Pada Masa Depan

on Monday 12 March 2012



Sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti tenaga suria, angin, biojisim dan tenaga hidro boleh mencapai hampir 80% permintaan bekalan tenaga dunia pada tahun 2050. Ini berlaku sekiranya kerajaan-kerajaan dunia merangka polisi untuk memanfaatkan potensi penggunaan tenaga-tenaga tersebut. Demikian menurut satu laporan yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kajian ini merupakan usaha bersama seramai 120 penyelidik daripada Panel Perubahan Iklim Antara Kerajaan (IPCC). Mereka juga berkata bahawa sekiranya hala tuju tenaga yang boleh diperbaharui dipatuhi sepenuhnya, maka pelepasan gas rumah hijau akan berkurangan. Ini membolehkan suhu dunia tidak naik melepasi paras 2 darjah selsius pada tahun 2050.  

2 darjah selsius ini merupakan satu had yang sekiranya suhu dunia naik melepasi had suhu ini, maka kesan terburuk perubahan iklim akan berlaku. Kerajaan-kerajaan juga telah bersetuju dalam perbincangan tahun lalu di Cancun, Mexico, yang mereka akan mengehadkan purata kenaikan suhu dunia dalam angka tersebut.
Laporan kajian tersebut diumumkan selepas perbincangan empat hari yang berakhir pada minggu yang lalu di Abu Dhabi, United Arab Emirates. Laporan ini bertujuan untuk memberikan maklumat kepada pembuat dasar dan membuat penilaian terkini terhadap potensi sumber-sumber tenaga yang boleh diperbaharui. 

Christiana Figueres, yang merupakan Setiausaha Eksekutif UNFCCC, menggambarkan laporan tersebut ‘signifikasi’ dan menunjuk hala tuju kepada kerajaan-kerajaan sedunia. 

”Mereka mesti mencapai matlamat mereka dengan menggunakan sepenuhnya sumber-sumber tenaga yang boleh diperbaharui dalam skala yang besar,” kata beliau lagi. ”Adalah penting juga bahawa dasar negara yang bercita-cita tinggi dan kerjasama antarabangsa yang kukuh kerana semua ini merupakan kunci utama kepada penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui secara meluas di semua negara.”

Figueres juga menekankan bahawa keperluan kewangan dan teknologi yang mencukupi harus dibekalkan kepada negara-negara yang kurang maju, agar negara-negara ini mengalami pertumbuhan paling pesat dalam pengeluaran tenaga dalam masa yang akan datang. 

’Negara-negara maju perlu menghasilkan satu dasar yang bersesuaian dan insentif supaya penggunaan dan pemasangan teknologi tenaga bersih boleh bertumbuh dengan pesat.”

Laporan tersebut turut memuatkan ulasan daripada 160 keadaan saintifik yang berbeza berdasarkan tahap-tahap yang berlainan dalam sumber-sumber tenaga yang boleh diperbaharui, keadaan alam sekitar yang berbeza dan faktor sosial.  

Semua keadaan and faktor-faktor ini telah dikaji dengan jelas dan terperinci. Hasil kajian tersebut memberangsangkan kerana ia menunjukkan sumber tenaga boleh diperbaharui berupaya untuk menampung 77% permintaan tenaga dunia menjelang tahun 2050, berbanding 13% pada tahun 2008. Selain itu, pelepasan gas rumah hijau juga dapat dikurangkan daripada 220 hingga 560 gigaton dari tahun 2010 hingga 2050. 

Walaupun laporan tersebut mengatakan bahawa sumber tenaga boleh diperbaharui akan meningkat tanpa bantuan dasar, namun ia juga menunjukkan peningkatan yang mendadak boleh dicapai sekiranya terdapatnya dasar negara yang kukuh dan diuruskan dengan baik. 

Kos untuk teknologi tenaga boleh diperbaharui akan dikurangkan pada masa depan dan dapat dikurangkan lagi sekiranya pelepasan gas rumah hijau dijual menjadi kredit karbon dan disalurkan kepada pembangunan tenaga yang boleh diperbaharui.

Sumber artikel: Konsumer Kini. Oleh 
Foon Weng Lian. Persatuan Pengguna Tenaga dan Air Malaysia
Sumber gambar: www.ngdir.ir
Tag :

Tip Menjimatkan Petrol (Bahan Api)

on Saturday 10 March 2012




Sentiasa lakukan pemeriksaan penapis udara. Penapis udara yang kotor akan mengehadkan aliran udara ke dalam enjin dan ini akan menyebabkan kerugian dari segi prestasi dan ekonomi. Penapis udara sangat mudah diperiksa dan diganti, hanya memegang penapis menghadap matahari dan jika anda tidak dapat melihat cahaya matahari menembusinya, anda perlukan penapis yang baru. Ganti penapis udara anda setiap 10,000 batu.

Sentiasa periksa tekanan tayar. Periksa tayar anda ketika tayar berada dalam keadaan sejuk (pandu kereta anda untuk memanaskan tayar dan udara didalamnya, tingkatkan lagi tekanan.

Kurangkan kelajuan. Cuba kurangkan laju ketika memandu untuk beberapa hari. Anda akan melihat begitu banyak bahan api dapat dijimatkan dan perjalanan anda tidak akan mengambil masa yang panjang. 

Memecut dengan teliti. Jika anda menggunakan kereta automatik, memecutlah dengan kelajuan yang sederhana supaya mudah bertukar ke gear yang tinggi.

Sentiasa perhatikan keadaan jalan (terdapat lubang pada jalan) jika terpaksa mengurangkan kelajuan secara mengejut ini, akan mengakibatkan pembaziran minyak.

Kembali kepada semula jadi. Cuba anda tutupkan alat penghawa dingin, buka tingkap dan nikmatilah udara semulajadi. Ia mungkin agak panas tapi jika tahap kelajuan anda berkurangan anda akan dapat menjimatkan bahan api.

Kurangkan berat kereta. Lebih berat kereta anda lebih banyak gas diperlukan untuk menggerakkannya. Jangan letakkan terlalu banyak barang di dalam kereta. Cuba alihkan barang-barang yang tidak diperlukan di dalam kereta ke dalam rumah atau buangkan sahaja.

Amalkan servis kereta secara teratur. Penyelenggaraan yang sesuai yang berkaitan dengan penapis udara yang kotor, palang pencucuh yang lama dan tahap bendalir yang kurang.

Jangan memanaskan enjin. Terus memandu pada kelajuan yang rendah selepas start kereta anda.  Dengan cara ini enjin akan mula panas dengan cepat.

Jangan memandu. Jika anda boleh mengelak dari memandu kenderaan, anda akan menjimatkan bahan api.  Anda boleh menggunakan kenderaan awam seperti bas, keretapi atau LRT untuk menjalani kegiatan harian anda.  Berjalan dan berbasikal juga merupakan salah satu cara terbaik untuk menjimatkan duit dan untuk kesihatan anda. 

Gabungkan perjalanan. Sebelum anda masuk ke dalam kereta, cuba anda berfikir sejenak “ adakah perjalanan ini memadai?”.  Jika anda boleh melakukan perjalanan-perjalanan yang pendek dalam satu masa, ini akan menjimatkan masa dan bahan api.  

Tag : ,

Kategori Sumber Tenaga

on Thursday 8 March 2012


Apakah itu Tenaga
Definisi tenaga diberikan oleh Kamus Oxford Fajar (Edisi Ketiga) sebagai keupayaan untuk membuat kerja. Sumber Tenaga adalah bahan asas yang diperlukan untuk menghasilkan tenaga.

Kategori Sumber Tenaga

Sumber Tenaga secara amnya boleh dibahagikan kepada empat kategori;
Sumber Tenaga Utama
Sumber Tenaga Sekunder
Sumber Tenaga Yang Boleh Diperbaharui
Sumber Tenaga Yang Tidak Boleh Diperbaharui.

1. Sumber Tenaga Utama Yang Tidak Boleh Diperbaharui

Sumber Tenaga Utama Yang Tidak Boleh Diperbaharui terdiri daripada berikut:
  • Bahan Api Fosil - Minyak mentah, arang batu dan gas asli adalah contoh sumber tenaga utama yang tidak boleh diperbaharui.
  • Minyak mentah ataupun petroleum adalah sejenis serbatian hidrokarbon cecair yang berwarna gelap dan pekat yang biasanya didapati di bahagian asas kerak bumi.
  • Arang batu adalah pepejal hitam semula jadi dan digunakan sebagai bahan bakar secara meluas.
  • Gas Asli adalah sejenis sebatian hidrokarbon dalam bentuk gas dan terbentuk di lapisan magma bumi.
  • Bahan Api Mineral – Uranium semula jadi seperti Uranium-234, Uranium-235 dan Uranium-238.
  • Uranium adalah unsur logam radioaktif yang berwarna kelabu atau keperakan.
2. Sumber Tenaga Utama Yang Boleh Diperbaharui

Sumber Tenaga Utama Yang Boleh Diperbaharui terdiri daripada berikut:
  • Solar – Ia adalah sinaran cahaya dan haba dari matahari
  • Angin – Ia adalah pergerakan udara
  • Air Pasang Surut – Paras air laut yang naik turun akibat kesan putaran bumi dan tarikan graviti bulan.
  • Biomass – Ia adalah sisa-sisa hutan (seperti pokok-pokok mati, cawangan dan tunggul pokok), serpihan kayu dan sisa-sisa pepejal perbandaran.Biomass juga merangkumi pertanian dan sisa haiwan.
  • Geothermal – Ia adalah tenaga yang tersimpan di dalam bumi. Contohnya tempat yang mempunyai tenaga geothermal adalah di kolam-kolam air panas.


3. Sumber Tenaga Sekunder

Sumber Tenaga Sekunder adalah sumber tenaga yang telah berubah bentuk daripada sumber tenaga utama melalui proses penukaran tenaga. Sumber tenaga sekunder juga merujuk kepada pembawa tenaga kerana tenaga adalah dalam bentuk yang boleh bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.
Penukaran sumber tenaga daripada sumber tenaga utama kepada sumber tenaga sekunder adalah penting untuk pengunaan yang lebih mudah dan memberi manfaat kepada aktiviti-aktiviti pengguna. Contoh tenaga sekunder adalah tenaga elektrik dan bahan bakar hidrogen. Penggunaan bahan bakar hidrogen sebagai sumber tenaga sekunder masih terhad dan penggunaannya dijangka bertambah pada masa hadapan.
Sebagai contoh Hidrogen digunakan sebagai bahan bakar dalam roket. Kapal angkasa mengunakan bateri yang berasaskan sel bahan api hidrogen untuk menjalankan sistem komputer. Tenaga sekunder yang lain adalah tenaga elektrik dan kegunaannya adalah pelbagai, misalnya untuk menjanakan perkakasan dan peralatan elektrik seperti penyaman udara, peti sejuk, ruang serta pemanasan air, lampu dan lain-lain lagi.
Sumber: SWITCH 
Tag :

Panasonic Energy Labur RM1.84 Bilion Bagi Kilang Pengeluaran Solar Di Malaysia

on Saturday 3 March 2012



KULIM, 2 Mac (Bernama) -- Panasonic Energy Malaysia Sdn Bhd, syarikat pengeluaran solar yang dibentuk oleh Panasonic Corporation, melabur RM1.84 bilion bagi kemudahan pengeluaran solar bersepadu penuh pertamanya di Malaysia.


Kemudahan itu yang terletak di Kulim Hi-Tech Park, akan menjalankan pengeluaran bersepadu wafer, sel dan modul solar dengan dengan anggaran kapasiti pengeluaran tahunan 300 megawatt (MW).


"Di kilang baharu kami, keseluruhan proses pengeluaran disepadukan dalam asas tunggal. Kami boleh mengurangkan kos dengan ketara dengan mengurangkan proses dan menghapuskan proses pengangkutan," kata Naib Presiden Panasonic Group, Tetsuhiro Maeda semasa upacara pecah tanah dan pertukaran perjanjian pajakan tanah, di sini.


Maeda bertanggungjawab bagi perniagaan solar bagi Panasonic Energy Company Japan.


Turut hadir di upacara itu ialah pengerusi Kulim Technology Park Corporation Sdn Bhd, Datuk Ir Amiruddin Hamzah, presiden Energy Company of Panasonic Group, Masato Ito, pengarah urusan Panasonic Asia Pacific, Yorihisa Shiokawa dan pengarah urusan Panasonic Malaysia Sdn Bhd, Jeff Lee.


Ketika ini, jumlah kapasiti global syarikat ialah 600MW daripada kilang-kilangnya di Jepun, Hungary dan Mexico.


Pembinaan kemudahan baharu di Kulim itu akan memulakan operasinya dengan segera bermula pada Disember untuk mengeluarkan Panasonic Heterojunction dengan modul solar Intrinsic Thin-layer (HIT).


Kilang itu dijangka menggunakan khidmat 1,500 pekerja dan memiliki jumlah kawasan binaan 70,000 meter persegi.


Produk-produk yang dikeluarkan di Kulim akan dijual di seluruh dunia serta di Jepun.


Maeda berkata bagi tempoh tiga tahun lepas, jualan panel solar merosot tetapi bukan modul HIT.


"Dengan kesedaran alam sekitar yang semakin meningkat di seluruh dunia dan pengenalan sistem subsidi serta skim Tarif Galakan di pelbagai negara, pasaran solar dijangka terus berkembang," katanya.


Sehubungan itu, Maeda berkata permintaan pesat dijangkakan terutamanya di sektor kediaman, bahagian sasaran utama bagi modul solar HIT.


-- BERNAMA. 

Tag : ,
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© Info Tenaga | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO