Mendapat inspirasi dari daun dan proses fotosintesis, dua kumpulan penyelidik telah memperbaharui teknik menukarkan gas Karbon Dioksida (CO2) menjadi bahan bakar.
Penyelidik dari Amerika dan Belanda menggunakan peralatan dan bahan ujikaji yang murah serta tenaga solar dari matahari untuk memisahkan air kepada gas oksigen dan hidrogen. Menurut satu laporan, mereka menamakan ciptaan mereka itu sebagai ‘daun buatan’.
“Anda hanya perlu meletakkan ‘daun buatan’ di dalam bekas kaca yang mengandungi air dan biarkan di bawah cahaya matahari. Keadaan itu akan menarik lebih banyak keamatan pancaran cahaya matahari yang menukarkannya kepada menjadi tenaga solar dengan pemisahan gas oksigen dan hidrogen dari air tersebut” ujar Daniel Nocera, penyelidik dan penulis bersama dariMassachuseetts Institut of Technology (MIT). Laporan penyelidikan tentang daun buatan tersebut telah diterbitkan dalam Jurnal Science pada bulan September 2011 .
Dalam ujikaji yang hampir sama, kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Richard Masel dari syarikat Dioxide Materials di Amerika Syarikat juga menggunakan tenaga solar untuk menukarkan gas Karbon Dioksida kepada petrol. Menurut Masel, mereka pada awalnya hanya mengharapkan 50% kecekapan tenaga yang terhasil, namun menurut pencerapan mereka 80% kecekapan tenaga dapat dihasilkan. Dan ianya melebihi sasaran awal. “Ia menunjukkan karbon dioksida boleh diguna semula dengan murah dan mudah” kata Masel yang menjalankan ujikaji kedua dalam bidang kajian yang sama.
Nocera dengan peralatan ujikaji 'daun buatan'
Pelepasan gas karbon dioksida yang terhasil dari bahan bakar petroleum menjadi isu utama dunia pada masa kini kerana ia menjejaskan cuaca dunia dan menyebabkan pemanasan global. Justeru itu, kumpulan penyelidikan yang diketuai Masel menggunakan teknik kitar semula yang mampu memecahkan karbon dioksida kepada komponen-komponen asalnya dan menukarkannya semula menjadi bahan bakar.
Mereka menemui sebatian kimia baru yang dikenali sebagai EMIM-BF-4 yang bertindak sebagai katalis yang cekap untuk memecahkan molekul Karbon Dioksida. Penemuan itu dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penyelidik-penyelidik sebelum ini yang menggunakan sejenis instrumen bervoltan tinggi untuk memisahkan CO2.
Peranti yang dihasilkan mereka boleh dipasang mana-mana bekalan sumber tenaga seperti penjana tenaga angin (wind farm) atau sel suria. Ia kemudiannya akan mengambil tenaga, CO2 dan air, seterusnya digunakan untuk menghasilkan gas sintetik yang boleh digunakan dalam industri atau dihantar ke kilang pemprosesan untuk menghasilkan petrol.
Sumber : Cosmos Magazine melalui Majalah Sains
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment