Usaha UKM Mengeluarkan Jentera Sel Fuel Untuk Pasaran

on Monday 23 April 2012


BANGI, -  Institut Sel Fuel Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berjaya menghasilkan beberapa jentera sel fuel sedang mencari rakan dagang untuk mengeluarkannya secara besar-besaran untuk dipasarkan.
Ia telah menubuhkan sebuah anak syarikat, Selfuel yang telah menyediakan model-model enjin yang menggunakan pelbagai sumber bahan api termasuk air najis dan bahan kumbahan hasil dari penyelidikannya.
Pengarah Selfuel, Prof Ir Dr Wan Ramli Wan Daud yakin teknologi itu, yang jauh lebih mesra alam berbanding bahan api berasaskan minyak dan gas yang digunakan secara berluasa sekarang, boleh menjimatkan pengunaan tenaga negara.
 
Prof Dr. Wan Ramli Wan Daud bersama kumpulan penyelidik Sel FuelUKM

Beliau memberitahu Portal Berita UKM bahawa sel fuel tidak membabitkan pembakaran atau letupan dalam enjin seperti jentera yang menguna petrol atau diesel.
Sel fuel juga adalah lebih praktikal berbanding tenaga suria kerana ia tidak perlukan panel atau kepingan solar yang besar bila digunakan oleh mana-mana kenderaan atau alat.
Ia juga lebih cepat dan mudah digunakan berbanding enjin elektrik kerana tidak perlukan masa yang lama untuk mencasnya seperti bateri.
Prof Wan Ramli adalah diantara 20 orang saintis dan penyelidik yang diberi penghargaan dan insentif berjumlah RM137,750 oleh UKM sempena majlis sambutan Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional 2012 peringkat UKM Isnin lepas. Beliau menerima bayaran hampir RM7,000 kerana berjaya menghasilkan ciptaan itu.
 
Sumber : treehugger.com

Syarikat SelFuel telah mempamerkan beberapa hasil cipta itu di majlis tersebut termasuk hidrogen sel fuel yang boleh dimuatkan kepada motosikal kecil atau moped.
Prof Wan Ramli dan pasukan penyelidiknya berjaya membuat enjin yang kompak berbanding produk lain dalam pasaran.
Sel Fuel bertindak sebagai peranti elektrokimia yang mampu menukarkan tenaga kepada elektrik serta haba tanpa melibatkan pembakaran.
Pada dasarnya, sel bahanapi ini bertindak sama seperti bateri kecuali ia tidak kehabisan ataupun perlu dicas semula. Ia menghasilkan tenaga dalam bentuk elektrik serta haba selagi mana bahanapi dibekalkan.
Sel Fuel juga turut menggalakkan penggunaan kepelbagaian tenaga di samping membantu peralihan kepada penggunaan sumber-sumber tenaga yang boleh diperbaharui.
Hidrogen, suatu elemen yang terbanyak di bumi, boleh digunakan secara langsung. Dengan sel fuel, penggunaan lain-lain bahan api yang mengandungi hidrogen, termasuk metanol, etanol, gas asli juga gasolin ataupun minyak diesel boleh dilakukan, tetapi 'fuel reformer' perlu digunakan untuk mengeluarkan hidrogen yang terkandung dalam bahan api tersebut.
Dalam sel fuel, tenaga kimia di dalam hidrogen dan oksigen ditukar secara elektrokimia melalui tindak balas redoks elektrokimia di anod dan katod sel kepada tenaga elektrik dan sedikit haba.
Lantaran hasil sampingan proses ini ialah air sahaja. Sel fuel adalah teknologi penukaran tenaga paling mesra alam yang amat sesuai bagi menyelesaikan masalah pemanasan global dan perubahan iklim.
Ia juga sesuai bagi penjanaan kuasa di kawasan-kawasan yang terpencil dan boleh pula disambungkan ke grid elektrik kebangsaan untuk pembekalan kuasa tambahan atau pun sebagai kuasa sokongan apabila berlaku sebarang gangguan bekalan.
Memandangkan sel fuel beroperasi secara senyap, masalah pencemaran bunyi dapat dikurangkan begitu juga pencemaran udara manakala lebihan tenaga haba yang terhasil dari sel bahanapi pula boleh digunakan untuk tujuan pemanasan air sebagai air panas bagi kegunaan rumah, kata Prof Wan Ramli.

Sumber : UKM News Portal melalui Majalah Sains
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© Info Tenaga | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO